JOHOR BAHRU – Pakatan jahat 19 buah syarikat berkomplot mengedar daging import sejuk beku dari Brazil melebihi had permit dan menggunakan kotak berlogo halal bagi mengeliru syarikat pembekal yang lain.
Dengan perbuatan tersebut, syarikat terbabit telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 syarikat dan mengaut keuntungan sehingga RM52 juta setahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati kesemua 19 syarikat itu telah berkomplot dengan sebuah pengimport daging sejuk beku import yang sah sejak 2018 hingga tahun lalu.
Katanya, kegiatan pakatan jahat 19 syarikat itu terbongkar selepas 36 individu ditahan dalam Op Kartel Daging yang dilancarkan oleh JSJ di seluruh negara pada Jumaat lalu.
“Dalam operasi ini, polis menahan seramai 34 pengarah syarikat dan dua pengurus syarikat yang terdiri daripada 26 lelaki dan 10 wanita berusia 28 hingga 67 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kesemua pengarah dan pengurus syarikat yang terlibat merupakan pelanggan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK Johor di sini hari ini. Hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Huzir berkata, mengikut permit import, syarikat itu hanya layak untuk mengimport sebanyak 108 tan menggunakan empat permit di mana satu permit hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan sahaja.
Walau bagaimanapun syarikat ini didapati telah mengedar lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan yang dibuktikan melalui invois yang dirampas.
Jelasnya, selain daripada mengimport bekalan dari syarikat di Brazil, syarikat terbabit juga menerima bekalan daging daripada syarikat tempatan. -K! ONLINE