Oleh ABD. RAZAK IDRIS
KLANG – Ibadah korban di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang hari ini diserikan dengan kehadiran selebriti, Datuk Nash.
Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias berkata, dia hadir ke program tersebut bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan keselamatan berkenaan bagi sama-sama menjalankan kewajipan yang dituntut setiap tahun itu.
“Walaupun berada dalam suasana pandemik Covid-19, seruan ibadah korban tetap dilaksanakan menurut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor.
“Tahniah saya ucapkan kepada anggota bomba di sini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Ibadah Korban Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bersama Pertubuhan Dalam Komuniti Bandar Botanik di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan itu, Datuk Nor Shahbuddin Monil; Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir dan Ketua Balai Bomba Pelabuhan Klang, Mohd. Naim Mohd. Nasir mengadakan gimik pada majlis tersebut.
Sementara itu Nor Shahbuddin berkata, sebanyak tiga ekor lembu disumbangkan pihaknya kepada Balai Bomba dan Pelabuhan Klang pada tahun ini.
“Lebih 1,000 bungkus daging korban telah diagihkan kepada warga anggota bomba dan keluarga asnaf di kariah Kampung Raja Uda Pelabuhan Klang hasil sembelihan hari ini,” katanya. – K! ONLINE