Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Sebanyak enam ekor lembu dikorbankan warga Briged ke-2 Infantri Tentera Darat (2 Bgd) yang disempurnakan di Kem Remilies di sini hari ini, dengan daging korban diagihkan kepada warga pasukan berkenaan dan golongan asnaf.
Program yang bermula kira-kira pukul 8 pagi itu berlangsung di pekarangan Surau Al-Faizin di dalam kem dengan semua peserta mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan melakukan penjarakan fizikal.
Panglima 2 Bgd, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman turut menyingsing lengan menyembelih salah seekor haiwan berkenaan dengan dibantu lain-lain sukarelawan.
Menurut Malek, program tersebut melibatkan tiga buah kem iaitu Markas 2 Bgd, 2 Skuadron Semboyan Bgd dan Markas Staf Stesen Ipoh dengan penglibatan 550 pegawai serta anggota.
“Kita merasa bersyukur kerana ibadah korban yang dirancang berjalan dengan lancar walaupun diadakan mengikut norma baharu.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan ibadah korban pada tahun ini dan berharap pada tahun hadapan kita dapat jayakan dengan lebih meriah. Insya-Allah,” katanya.
Program berkenaan berakhir sebelum solat Jumaat. – K! ONLINE