KUALA LUMPUR – Seorang mekanik berusia 45 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah jengkaut di kilometer 10.4 Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.22 malam itu, mangsa, Mohd. Azman Arifin yang bekerja sebagai Mekanik Bas Rapid Shah Alam menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian mangsa dari arah Shah Alam menghala ke Ukay Perdana.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa melanggar belakang jengkaut yang sedang bergerak di lorong kiri.
“Akibat kemalangan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu jengkaut berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dah proses bedah siasat akan dibuat setelah keputusan ujian Covid-19 diperolehi.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE