SAN FRANCISCO, CALIFORNIA – Sebuah keluarga hartawan menawarkan pekerjaan sebagai pengasuh kanak-kanak dengan gaji AS$100,000 setahun (RM413,500) kepada mereka yang berminat mengisi kekosongan tersebut, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Dalam iklan jawatan kosong oleh sebuah firma pengambilan pekerja Louer itu, keluarga tersebut mencari tiga pengasuh sepenuh masa untuk menjaga dua anak mereka, seorang bayi dan seorang kanak-kanak.
Jawatan itu memerlukan setiap pengasuh bekerja secara bergilir selama 12 jam serta tinggal di rumah agam keluarga itu di Presidio Heights, Napa.
Calon yang ingin mengisi kekosongan jawatan itu perlu mempunyai pengalaman meluas dalam bidang perkembangan kanak-kanak serta mampu mendidik kanak-kanak itu tentang adab dan etika.
Selain itu, calon juga mestilah seorang yang mempunyai peribadi santai dan ceria.
Antara tugas yang perlu dilakukan adalah memasak, membersih, mencuci serta berada bersama kanak-kanak tersebut ketika keluarga itu bercuti.
Ia termasuk ketika keluarga itu melawat beberapa kediaman mereka yang terletak di seluruh Amerika Syarikat selama 10 minggu dalam setahun.
Selain itu, pengasuh juga perlu menyokong setiap aspek perkembangan sosial dan intelektual kanak-kanak tersebut daripada bermain permainan, membuat aktiviti seperti permainan.
Iklan tersebut bagaimanapun kini telah dipadam oleh Louer meskipun terdapat beberapa jawatan hampir sama yang diiklankan.
Laman web itu pada masa ini menyenaraikan lebih 12 jawatan pembantu domestik yang menawarkan gaji sebanyak AS$100,000 (RM413,500) atau lebih tinggi dalam setahun. – Agensi