Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Meskipun ibadah korban tahun ini agak suram ekoran pandemik Covid-19 di kebanyakan tempat namun berbeza senarionya di Kampung Pasir Nering di sini apabila jumlah lembu korban meningkat berbanding sebelum ini.
Bahrun Bakar, 74, berkata, sebanyak 11 ekor lembu korban bakal disembelihnya pada Aidiladha kali ini berbanding cuma enam ekor pada tahun lalu.
Beliau yang berpengalaman 20 tahun sebagai tukang sembelih haiwan berkata, kebiasaannya, lembu korban yang disembelihnya pada setiap tahun hanyalah sekitar lima dan enam ekor.
“Ramai perantau yang pulang ke kampung tidak melepaskan peluang menunaikan ibadah korban meski pun negara masih lagi berdepan Covid-19.
“Kemeriahan tetap dirasai seperti tahun sebelum-sebelum ini termasuk dari aspek gotong-royong melapah daging walaupun terikat dengan prosedur operasi standard normal baharu,” katanya yang ditemui di Kampung Pasir Nering di sini hari ini.
Bercerita tentang pengalamannya, Bahrun bercerita, beliau tidak dapat melupakan pengalamannya menyembelih seorang diri seekor lembu korban jenis Brahman yang seberat hampir setan pada dua tahun lalu di Kampung Padang Tara di sini.
Beliau berkata, biar pun bersaiz besar, lembu sado itu bagaikan jinak dan tidak meronta-ronta seperti haiwan ternakan lain sewaktu hendak disembelih.
“Setiap peserta korban juga tersenyum apabila menerima daging seberat 30 kilogram bagi bahagian masing-masing,” katanya. – K! ONLINE