PEJAM celik pejam celik, saingan Netball Super League (NSL) semakin hampir ke penghujung dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara malam ini.
Semua peminat sukan bola jaring di seluruh negara sudah dihidangkan dengan aksi-aksi yang cukup memukau pada kejohanan julung-julung kali diadakan sejak 19 Mac lalu.
Pastinya semua sudah sedia maklum mengenai cabaran yang perlu dihadapi oleh para pemain bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan setiap minggu.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa barisan pengadil turut berdepan cabaran yang cukup tinggi bagi megendalikan setiap perlawanan liga bola jaring itu.
Ketua pengadil bagi saingan NSL, Mazlah Abidin tanpa berselindung mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar, lebih-lebih lagi para pemain sudah tidak beraksi lebih setahun gara-gara Covid-19.
“Secara jujur, tugas untuk mengendalikan perlawanan NSL sangat mencabar kerana pemain-pemain sudah lama tidak beraksi, jadi mereka seperti terlupa mengenai peraturan permainan.
“Buat pertama kali sejak menjadi pengadil, kami terpaksa mengarahkan pemain keluar gelanggang kerana menampilkan aksi yang agak kasar. Saya fikir mungkin ia disebabkan sudah lama tidak bermain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menjelang perlawanan akhir yang akan berlangsung hari ini, Mazlah berharap anak-anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya, terutamanya dari segi kecergasan.
“Saya tahu kecergasan pengadil masih belum mencukupi, jadi saya harap mereka lebih bersedia untuk perlawanan akhir nanti.
“Selain kecergasan, saya juga mahu mereka lebih bijak untuk membaca permainan bagi memudahkan tugas mereka,” ujarnya.
Selain perlawanan akhir, aksi penentuan tempat ketiga dan keempat turut dijadualkan berlangsung di venue yang sama hari ini.