LONDON – Juara enam kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Marc Marquez membuat kejutan apabila mengesahkan akan kembali turun berlumba dengan Repsol Honda menjelang Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao pada 18 April ini.
Marquez, 28, mendapat ‘lampu hijau’ daripada pakar perubatan peribadinya untuk kembali berentap selepas hampir setahun tidak beraksi.
Ia disebabkan pelumba kelahiran Sepanyol itu mengalami kecederaan patah tulang lengan sewaktu GP Sepanyol yang merupakan pembuka tirai kempen musim lalu sekali gus terlepas baki 13 perlumbaan dalam kalendar MotoGP 2020.
Akibat kecederaan itu, Marquez telah menjalani pembedahan ketiga pada Disember tahun lalu yang memerlukannya melakukan proses pemulihan sekurang-kurangnya dalam tempoh minimum enam bulan.
Meskipun kecederaan Marquez dijangka sembuh sepenuhnya pada Jun 2021, namun keadaannya beransur pulih lebih cepat dan kehadirannya semula sudah tentu mengembirakan kem Honda yang bergelut untuk mencari kemenangan semula.
“Saya sangat gembira kerana semalam (kelmarin) saya melakukan perjumpaan dengan doktor pakar dan mereka memberi saya lampu hijau untuk kembali bersaing pada perlumbaan kompetitif.
“Saya akui ia adalah tempoh sembilan bulan yang sangat sukar dengan berdepan pelbagai masalah. Kini, saya mahu menikmati semula semangat berlumba. Jumpa anda di Portimao,” kata Marquez. – AGENSI