LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho yakin mampu menewaskan Manchester United buat kali kedua berturut-turut pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Pada pertemuan pertama di Old Trafford, Oktober tahun lalu, Spurs berjaya mencipta kejutan apabila membelasah juara EPL 13 kali itu dengan keputusan 6-1.
Justeru, Mourinho bertekad untuk terus menghantui bekas pasukannya itu memandangkan Spurs memiliki rekod yang agak baik di laman sendiri.
“Keputusan 6-1 adalah sesuatu yang gila kerana jarang berlaku antara dua kelab besar. Saya harap kami boleh catat kemenangan bersih ke atas United musim ini.
“Musim lalu, kami tewas 1-2 di Old Trafford dan seri 1-1 di laman sendiri. Dalam dua aksi itu, United mendapat sepakan penalti,” kata Mourinho.
Dalam masa sama, pengendali dari Portugal itu sedar mereka akan berdepan perlawanan yang sangat sukar.
“Kedua-dua pasukan akan berdepan kesukaran. United pastinya mahu tebus kekalahan, namun tidak akan menghalang kami daripada mengutip tiga mata,” jelasnya.
Kemenangan ke atas United mampu mencerahkan peluang Spurs ke pentas Liga Juara-Juara musim depan memandangkan mereka ketika ini menduduki tangga ketujuh EPL. – AGENSI