MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer melaungkan amaran kepada Tottenham Hotspur menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Katanya, skuad The Red Devils sedia menebus kekalahan memalukan ketika tewas 1-6 kepada Spurs sewaktu pusingan pertama EPL di Stadium Old Trafford pada Oktober tahun lalu.
Jelas Solskjaer, kekalahan besar itu sememangnya telah mencalarkan reputasi United sebagai salah sebuah pasukan gergasi England selain turut dikritik hebat legenda pasukan itu.
“Sudah tentu semua pemain masih ingat mengenai perlawanan yang sangat memeritkan itu. Maruah kami tercalar dengan kekalahan besar seperti itu.
“Saya yakin pemain-pemain United mahu membuktikan mereka lebih baik berbanding perlawanan dahulu. Ini peluang kami untuk tebus maruah,” kata pengendali dari Norway itu.
Meskipun United sudah menunjukkan peningkatan dari segi prestasi, namun Solskjaer masih belum berpuas hati kerana sekadar berada di tempat kedua liga ketika ini.
“Kami adalah Manchester United, jadi kami tidak boleh berpuas hati dengan tempat kedua. Saya mahu semua pemain tampilkan aksi lebih baik musim depan,” ujarnya.
Sebagai rekod, The Red Devils kini menduduki tangga kedua dengan 60 mata, ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga yang juga musuh setempat, Manchester City. – AGENSI