fbpx

Gaji setahun lesap tiba-tiba – Shuk Sahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUK SAHAR

MAHU atau tidak, bekas penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar perlu meneruskan kehidupan dengan mengambil pengajaran daripada kontroversi kecurangannya terhadap isteri, Rossalennah Natassiah Asshaferah. Bukan sekali, bahkan dua kali dia terhantuk baru tengadah dengan kealpaan sendiri.

Ditemui Pose pada majlis pelancaran kafe minuman miliknya, Semooth Cafe di Wangsa Maju baru-baru ini, pemilik nama lengkap, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 35, mengakui, benar-benar terduduk mengenang nasib selepas episod hitam tersebut berlaku dalam hidupnya.

Tidak mahu terus hanyut dalam lara peristiwa yang menjerat diri, anak jati Pulau Pinang itu mendedahkan, kesan paling nyata, dia seperti hilang punca pendapatan selama setahun.

POSE: Shuk, bagaimana dan siapa yang menginspirasikan anda untuk berkecimpung dalam perniagaan, sekali gus menubuhkan Semooth Cafe?

SHUK SAHAR: Sebenarnya sudah hampir setahun saya pasang niat untuk menjalankan Semooth Cafe namun terbantut disebabkan Covid-19 dan episod ‘hitam’ yang menimpa diri saya. Kalau cakap pasal inspirasi, Shuib menjadi inspirasi saya. Mungkin akan ada yang kata pembukaan jenama ini seakan-akan meniru jenama diusahakan Shuib.
Terus-terang, saya sendiri memang ada bertanya dan meminta tips dan nasihat perniagaan daripada Shuib tetapi tidaklah meniru. Sebagai seorang sahabat, Shuib memang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan saya yang masih baharu dalam dunia perniagaan ini.

SHUK mengakui kedudukan kewangannya sangat terkesan selepas kontrak bersama Hot FM ditamatkan.

Maaf bertanya, selepas apa yang berlaku, bagaimana kehidupan anda sekarang?

Sejujurnya, saya cukup terkesan. Ketika isu itu hangat diperkatakan, saya terduduk mengenang nasib – apa yang saya ingin lakukan selepas ini. Kerja di radio dah hilang dan saya hilang punca pendapatan utama. Kalau cakap pasal pendapatan, ibaratnya, gaji setahun saya lesap begitu sahaja.
Pun begitu, perlahan-lahan saya menelan realiti hidup dan mulakan kehidupan dengan belajar perkara baharu termasuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan.
Ada hikmah juga apa yang berlaku. Kalau hal itu tidak berlaku, saya tidak akan buat apa yang saya sedang buat sekarang.

‘Gaji setahun lesap’. Kalau anda boleh dedahkan, berapa anggarannya?

Saya boleh cakap lebih kurang RM200,000. Itu tidak termasuk kerja-kerja lain seperti pengacaraan dan lakonan yang turut terkesan disebabkan isu terbabit.

SHUK menamakan Shuib sebagai sahabat yang menjadi inspirasi kepadanya untuk memulakan perniagaan Semooth Cafe.

Ada yang berpendapat kontroversi yang berlaku sebenarnya rancangan anda untuk tujuan pemasaran. Apa komen anda?
Kalau untuk tujuan pemasaran, tiadalah sampai saya hilang kerja di radio. Kalau diikutkan, kontrak saya dengan Hot FM tamat pada 2023. Tak tergamak saya nak buat ‘marketing’ sampai hilang kerja yang selama ini menjadi periuk nasi saya. Lebih-lebih lagi ketika hal itu berlaku, saya baru pindah ke rumah baharu.
Hampir kesemua wang simpanan saya habis digunakan untuk tujuan rumah baharu.
Bayangkan duit simpanan dah habis kemudian saya dilanda kontroversi. Satu persatu tawaran kerja saya ditarik.
Memang nak tak nak, saya kena ikhtiarkan cara lain untuk menjana pendapatan dan kena terus tabah.

Adakah kawan-kawan menghilangkan atau menjauhkan diri daripada anda?
Kawan-kawan saya baik dan sangat memberi sokongan. Achey dan isteri siap bawa makanan datang tengok keadaan saya. Shuib dan Mark Adam pun sangat memberi sokongan. Mereka semua bukan sahaja kawan tetapi sahabat.

Sejujurnya, adakah anda rindukan konti radio?
Hampir empat tahun saya kerja di konti, tipulah kalau saya tak rindu. Tetapi kalau semua ini tidak berlaku, saya tidak akan belajar, tidak akan bergerak ke hadapan dan tidak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Apapun, rezeki dalam industri masih ada. Saya masih diberi peluang mengacara program realiti, I Can See Your Voice musim keempat dan beberapa projek lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI