fbpx

Gorila pukul dada tanda cuba bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GORILA jantan memukul dada sendiri untuk mengelakkan pergaduhan dengan menunjukkan kekuatan dan saiznya kepada pihak lawan. – AFP

BERLIN – Saintis-saintis Jerman percaya perbuatan gorila menumbuk dada sendiri adalah cara untuk menyatakan bahawa ia tidak mahukan pergaduhan sambil mempamerkan kekuatan kepada pihak lawan, lapor akhbar New York Times kelmarin.

“Aksi yang kerap dilakukan mamalia itu sebenarnya adalah amaran awal kepada pihak lawan berhubung kekuatan sebenarnya. Ia seperti menyatakan ‘jangan cari pasal dengan saya’,” demikian menurut majalah National Geographic.

“Kami mendapati perkara ini benar. Isyarat diberikan gorila jantan dengan memukul dada sendiri adalah untuk menunjukkan kekuatan dan saiz sebenarnya,” ujar penyelidik Institut Evolusi dan Antropologi Max Planck, Edward Wright kepada akhbar The Guardian.

Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi bahawa gorila berkomunikasi dengan cara menumbuk dada, namun tiada data untuk menyokong kenyataan tersebut.

Bagi membuktikan teori itu, Wright dan pasukannya me­luangkan masa selama 3,000 jam untuk mengkaji spesies gorila liar di Taman Gunung Berapi Nasional Rwanda.

Mereka menggunakan peralatan audio untuk merakam frekuensi tumbukan di dada, bilangan dan tempoh masa bagi setiap haiwan antara November 2015 hingga Julai 2016.

Hasil kajian itu mendapati gorila bersaiz lebih besar menghasilkan frekuensi atau kekerapan lebih perlahan berbanding gorila kecil.

Kata Wright, tindakan me­numbuk dada itu adalah sebagai ‘isyarat kemampuan kompetitif yang jujur’.

Ini kerana, gorila besar tidak perlu menumbuk dada­nya dengan lebih kuat disebabkan kemampuan dan saiznya yang besar berbanding gorila bersaiz kecil yang perlu menampakkan dirinya kuat.

Ia juga bererti saiz badan yang lebih besar memberikan status sosial yang lebih tinggi sekaligus memberi kelebihan kepada gorila itu untuk mengelak daripada bertindak ganas.

Selain itu, kajian tersebut turut mendapati bahawa tindakan menepuk dada turut memberi isyarat untuk menarik perhatian gorila betina. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI