fbpx

Lelaki diburu ugut sebar gambar bogel remaja perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SENTUL – Tindakan seorang lelaki membuat ugutan untuk menyebarkan gambar bogel seorang remaja perempuan bawah umur akhirnya mengundang padah apabila dia kini menjadi buruan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 4.08 petang semalam yang memaklumkan telah menerima ugutan tersebut daripada suspek yang dikenalinya.

“Menurut mangsa yang berusia 15 tahun itu, dia mengenali suspek sejak tiga bulan lalu dan perkenalan tersebut hanyalah menerusi aplikasi pesanan ringkas laman sosial Instagram.

“Mangsa mendakwa, ketika berada di rumahnya di Jinjang, Kuala Lumpur, dia telah dipujuk oleh suspek untuk berbogel ketika sedang berbual menerusi panggilan video dan lelaki berkenaan juga telah menangkap layar gambar-gambarnya sedang berbogel,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Eng Lai, suspek kemudiannya telah mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar bogel milik mangsa sekiranya remaja berkenaan enggan untuk memperkenalkan rakan-rakan wanitanya kepada suspek.

“Susulan ugutan yang diterimanya itu, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan berdasarkan maklumat yang telah disalurkan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan penggunaan media sosial secara tidak wajar,” tegas beliau.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI