PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan tidak mahu terburu-buru kembali dalam acara 100 meter (m) selepas membuat keputusan menyertai acara 400m pada Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) yang membuka tirai hari ini.
Raja pecut Asia Tenggara 2017 itu berkata, keputusan itu dilakukan tanpa tekanan jurulatih memandangkan dia mahu mencari tonik terbaik selepas lebih setahun tidak beraksi dalam acara berkenaan.
Khairul Hafizh yang terkenal dengan gelaran The Speedy Jantan mengalami kecederaan otot paha (hamstring) di kedua-dua belah kakinya sekali gus memerlukan masa untuk mendapatkan rentaknya semula.
“Ini bukan soal turun pangkat kerana bagi saya 400m adalah acara permulaan saya untuk membina kekuatan diri dan mental selepas pulih daripada hamstring setahun lalu.
“Biar saya main acara ketahanan dahulu, kemudian dalam tempoh setahun saya akan cuba lari 100m semula. Bagi saya masih terlalu awal untuk memberi tekanan kepada kaki saya ini.
“Saya yang melalui derita kecederaan ini dan bagi saya ini adalah langkah terbaik untuk mengembalikan rentak larian saya. Sejak dahulu lagi memang saya ambil 400m di bawah bimbingan jurulatih (Poad Kassim),” katanya ketika ditemui di MSN semalam.
Khairul Hafizh turut mengakui sebelum ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, dia akan berusaha melakukan yang terbaik dan cuba melayakkan diri dalam acara 100m.
“Andai kata cecah sasaran dalam 48s bagi acara 400m, bermakna saya akan kembali semula ke acara 100m. Selepas itu saya akan berusaha untuk mendapatkan catatan larian bawah 10.35s,” tambahnya.
Kejohanan tersebut merupakan platform bagi atlet negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan termasuk Sukan SEA Hanoi (November depan).