fbpx

Lebih 1,700 rider maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNGGANG p-hailing dinasihatkan supaya mendaftar dan mencarum dengan SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Lebih dua pertiga atau lebih 1,700 daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu adalah membabitkan kumpulan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 7,525 kes kemalangan jalan raya dalam tempoh itu.

“Daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal yang direkodkan, dua pertiga (lebih 1,700) adalah mereka yang berkhidmat dalam p-hailing.

“Apa yang menyedihkan, kemalangan tersebut turut meragut nyawa penunggang muda yang kebanyakan mereka ber­khidmat dalam p-hailing,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Ke­selamatan Jalan Raya P-Hailing di sini hari ini.

Ka Siong berkata, pihak kementerian juga mendapati berlaku trend pendaftaran sehingga 200 penunggang baharu ­p-hailing setiap hari.

Beliau berkata, kebanjiran kumpulan itu di jalan raya turut mengundang kontroversi apabila sering dikaitkan dengan pelanggaran peraturan lalu lintas dan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, kajian dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula mendapati kira-kira 70 peratus penunggang p-hailing kerap melakukan kesalahan lalu lintas ketika menghantar makanan dan barangan.

“Antara kesalahan yang kerap dilakukan termasuk berhenti di petak kuning, melanggar lampu merah dan menggunakan telefon bimbit ketika menunggang,” katanya.

Justeru, katanya, kempen itu diharap dapat membantu me­ngurangkan kes kemalangan dan insiden kematian membabitkan kumpulan p-hailing pada masa akan datang dengan mendidik mereka menerusi amalan budaya menunggang motosikal secara selamat dan berhemah.

Ka Siong berkata, penunggang p-hailing juga dinasihatkan supaya mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Dengan kadar caruman RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun, pelbagai faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal dan faedah orang tanggungan dapat dinikmati sekiranya terbabit kemalangan,” katanya.

Katanya, ketika ini, dianggarkan lebih 100,000 orang di seluruh negara terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkhidmatan ­p-hailing ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI