fbpx

Revolusi sukan bola jaring negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENGANJURAN Netball Super League (NSL) hadir pada waktu yang tepat kerana membawa banyak manfaat terhadap masa depan arena bola jaring serta ke­langsungan sukan itu dalam menempuhi pandemik Covid-19.

Ia sebenarnya dilihat sebagai ‘eksperimen’ berani daripada Persatuan Bola Jaring Malaysia dan syarikat penyiaran tele­visyen satelit, Astro bekerjasama menjayakan kejohanan yang akan berakhir esok sejak ber­mula 19 Mac lalu.

Sudah tentu kedua-dua pihak mengharapkan saingan NSL mampu menjadi sehebat satu lagi program seperti itu iaitu­ Liga Sepak Takraw (STL) yang kini sudah memasuki musim ketujuh sejak diperkenalkan pada 2014.

Ia tidak mustahil dan perlu mengambil sedikit masa sebelum mencapai tahap STL yang berjaya mencipta pengaruh tersendiri sehinggakan mampu mempunyai peminat-peminat di luar negara termasuk dari Korea Selatan dan Perancis.

Kemeriahan saingan edisi pertama NSL kali ini membabitkan lapan pasukan bertanding tetap dapat dirasai berdasarkan jumlah tontonan setiap perlawanan yang disiarkan secara langsung selepas penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium.

Bekas pemain kebangsaan, Fazdlun Abas menyifatkan NSL adalah platform yang terbaik buat pemain-pemain bola ja­ring sama ada remaja atau se­nior mendapat peluang untuk mengembangkan bakat mereka ke tahap lebih tinggi.

“Ia akan meningkatkan kedudukan sukan ini di Malaysia, malah mungkin di mata dunia kerana akhirnya negara mempunyai liga bola jaring sendiri, mengikut langkah kuasa-kuasa besar seperti Australia dan New Zealand,” katanya.

Ada beberapa nama yang kurang dikenali sebelum ini tetapi­ berjaya mencuri perhatian ramai antaranya Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli dari Kuala Lumpur Wildcats, Nuraina Raziani­ (Johor Jewels) dan Yeoh Pek Xian (Selangor Angels).

Malah, NSL juga berjaya ‘melahirkan’ dua permata yang dilihat berpotensi dipanggil dalam skuad remaja dan senior kebangsaan pada masa depan seperti dua pemain Perak berusia 16 dan 17 tahun iaitu B. Pavitra Devi serta­ S. Sharvina.

Penganalisis sukan Malaysia yang juga Ketua Seksyen Sukan di Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Pekan Ramli berpendapat, kejohanan seumpama NSL telah menyediakan medium untuk meningkatkan keyakinan pemain.

“Pendedahan berhadapan dengan media patut diberikan kerana sebuah liga yang diangkat seperti profesional ini dapat membantu tahap pemikiran dan intelektual pemain. Ia bukan sekadar bermain sahaja.

“Kita boleh nampak perbezaan ketara dalam gelanggang antara pemain yang tenang dan boleh berkomunikasi baik de­ngan media. Kebiasaannya pemain ini mempunyai tahap keyakinan tinggi yang boleh membantu permainannya,” katanya.

Walaupun elemen itu jarang diberi perhatian serius, namun tidak ramai sedar bahawa ia sebenarnya memberikan kelebihan tambahan buat mana-mana pa­sukan yang mempunyai pemain mesra media dan sering menjadi pilihan untuk ditemu ramah.

Ia boleh dianggap sebagai serangan psikologi secara senyap dengan mewujudkan satu pe­rasaan gerun dan gentar kepada mana-mana pasukan lawan sebelum perlawanan bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI