KANGAR – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dari Kampung Padang Pauh di sini teruja apabila kali pertama menunaikan ibadah korban pada tahun ini.
Noor Jasmee Othman, 64, dan suami yang juga OKU penglihatan, Remli Abas, 61, hadir ketika proses penyembelihan dan melapah daging dilakukan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini hari ini.
Menurut Noor Jasmee, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk turut melakukan ibadah korban bersama peserta lain di masjid tersebut.
“Saya menyertai ibadah korban tahun ini dengan membuat pembayaran secara ansuran menerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender Perlis (Rumah Lavender),” katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini hari ini.
Katanya, suaminya pula menunaikan ibadah korban di kampungnya di Kampung Bendang di Asun dekat Jitra, Kedah selepas solat Jumaat ini.
“Ini merupakan kali kedua suami buat ibadah korban bersama komuniti kampungnya dan daging korban ini kami akan buat kenduri selain agihkannya kepada orang kampung ,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Lavender, Tuan Marja Tuan Mat berkata, pihak pertubuhan dengan kerjasama Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail menguruskan enam ekor lembu dan dua kambing untuk ibadah korban kali ini.
“Seramai sembilan orang daripada 44 peserta ibadah korban di masjid ini adalah OKU penglihatan dari Rumah Lavender,” katanya.
Katanya, proses penyembelihan dan melapah daging di pekarangan masjid dilakukan mengikut prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang ditetapkan.
“Tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya yang mana hanya petugas projek korban dan peserta dibenarkan berada di kawasan penyembelihan dan memproses daging,” tambahnya. – K! ONLINE