DUNGUN – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berjaya menyiapkan kerja-kerja penembusan terowong pertama bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka dekat sini hari ini.
Pengerusi MRL, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Terowong Paka yang sepanjang 1.1 kilometer merupakan salah satu daripada 59 terowong terdapat di seluruh jajaran ECRL yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Beliau berkata, tambah membanggakan kerja-kerja penggalian Terowong Paka yang turut menggunakan kepakaran anak tempatan itu siap dalam tempoh enam bulan awal daripada jadual biarpun berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19,
“Kerja-kerja penggalian terowong tersebut telah dilakukan dalam tempoh 620,000 jam termasuk peletupan terakhir pada jarak 42 meter dari portal selatan hari ini.
“Saya berharap penembusan projek (terowong) ini dapat memberi dorongan untuk keseluruhan projek (ECRL) dilaksanakan mengikut jadual seperti dirancang,” katanya menyempurnakan upacara peletupan terakhir Terowong Paka di sini hari ini.
Mohd. Zuki berkata, Terowong Paka yang setinggi 11.8 meter dan lebar 12.9 meter tersebut dibina bagi mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan yang berada di persisiran Paka dekat sini.
Ujar beliau, kerja-kerja sivil pembinaan terowong ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2022. – K! ONLINE