KOTA TINGGI – Program Ketua Polis Johor bersama masyarakat di daerah ini yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah (MBD) memberi peluang golongan belia untuk menyalurkan perkara yang tidak difahami kepada pihak berkuasa secara terus.
Pengerusi MBD Kota Tinggi, Mohd. Fauzan Sebalas berkata, program itu merupakan platform terbaik disediakan polis Johor disamping merapatkan hubungan polis dan belia.
“Polis dan belia berpisah tiada. Belia sepatutnya bersyukur dengan undang-undang yang ada kerana dari itu menjadikan mereka berdisiplin dan mampu mendidik mereka menjadi orang yang berguna.
“Hari ini juga dibuktikan melalui lawatan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang turun bersama-sama beramah mesra dan menerima pandangan golongan belia di sini.
“Bila sebut belia, orang muda, yang kita fikir adalah masalah sosial tetapi hari ini merupakan ruang dan peluang belia sendiri dapat sampaikan kepada beliau berkenaan perkara-perkara yang mereka tidak faham dan yang tidak mendapat maklumat yang betul dari pihak berwajib,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Program Pelancaran Mini Karnival Jom Aktif@Kota Tinggi sempena Program Ketua Polis Johor Bersama Masyarakat di Laman Tun Sri Lanang Kota Tinggi, hari ini. – K! ONLINE