IPOH – Dua pengarah syarikat antara empat individu ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen bagi tujuan memperoleh projek pembersihan bernilai lebih RM3.7 juta, sejak 2017 hingga tahun lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, empat individu termasuk dua wanita yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dan memakai baju lokap berwarna jingga itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ipoh pada pukul 10 pagi.
Kesemua mereka berusia lingkungan 40-an sebelum ini ditahan pada pukul 8 pagi di sekitar Taiping dan Bandar Baharu, Kedah semalam.
Difahamkan, tangkapan ke atas mereka adalah berkenaan dua buah syarikat yang menggunakan cop bank palsu dan tandatangan pegawai bank palsu serta mengemukakan penyata akaun yang mengandungi butiran maklumat palsu.
Sumber memberitahu, tindakan mereka itu bagi mendapatkan tender pembersihan bangunan dan kawasan di bawah jabatan kerajaan mulai tahun 2017 hingga tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan nilai tender tersebut ialah RM3,787,867,” katanya. – K! ONLINE