KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Program Jualan Malaysia (PJM) 2021 mencapai nilai jualan sektor runcit sebanyak RM120 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, PJM tahun lalu menyasarkan nilai jualan sektor runcit RM100 bilion.
“Pada tahun lalu walaupun kita sasar RM100 bilion, tetapi nilai jualan sektor runcit melepasi sasaran iaitu RM135.9 bilion.
“Tahun ini sasaran RM120 bilion dengan harapan nilai jualan lebih daripada itu. Kita mengambil pendekatan realistik dalam menetapkan sasaran ini,” katanya pada Majlis Pelancaran PJM 2021 Jom Shopping Hari Raya di pusat beli belah Jakel Mall di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed.
PJM yang telah memasuki edisi kedua tahun ini merupakan program pemangkin ke arah pemulihan dan melonjakkan ekonomi negara terutama membabitkan sektor peruncitan.
Alexander berkata, PJM tahun ini akan memberi fokus kepada lima segmen perayaan terbesar termasuk Hari Raya Aidilfitri dari April sehingga Mei serta Gawai dan Kaamatan dari Mei sehingga Jun.
Menurut beliau, perayaan seterusnya adalah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dari Ogos sehingga September, Deepavali pada November serta Krismas dan Tahun Baharu pada Disember 2021.
Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP mengambil keputusan peniaga yang membuat permohonan Notis Jualan Murah boleh terus melaksanakan aktiviti jualan murah tanpa perlu menunggu kelulusan.
Jelas beliau, langkah itu bertujuan membantu sektor peruncitan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 untuk kembali pulih.
“Bagaimanapun masih perlu patuh segala syarat ditetapkan dan memberi laporan kepada KPDNHEP untuk dipantau supaya tidak mengaut keuntungan tidak berpatutan,” katanya. – K! ONLINE