CYBERJAYA – Sebuah premis perniagaan pengurusan barangan lusuh di Telok Panglima Garang, Kuala Langat diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam kerana dikesan melakukan aktiviti penyambungan air tidak sah.
Operasi penguatkuasaan dan serbuan itu dilakukan bersama Pengurusan Air Selangor selepas menerima aduan.
SPAN menerusi kenyataan akhbar berkata, premis berkenaan disyaki melakukan aktiviti penyambungan air secara tidak sah melalui paip jenis HDPE berukuran 32 milimeter sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kerugian daripada aktiviti yang menyumbang kepada Air Tidak Terhasil (NRW) tersebut dijangka sekitar RM140,000.
“Berdasarkan siasatan tapak, air yang dicuri adalah untuk kegunaan domestik seperti mencuci, kegunaan rumah pekerja serta memasak.
“Ujian klorin di tapak mengesahkan bahawa air yang digunakan adalah air terawat yang dibekalkan operator,” katanya.
Katanya, kes disiasat menerusi Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya lagi, pihak operator akan mengeluarkan tuntutan kepada pemilik premis bagi jumlah kerugian yang dialami. – K! ONLINE