fbpx

Ahli perniagaan dipenjara 10 tahun, sebat 24 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Narendran dijatuhi hukuman 10 tahun dan 24 kali sebatan selepas didapati bersalah terhadap 109 pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu bernilai lebih RM6 juta, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

IPOH – Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap 109 pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu melibatkan pelaburan berjumlah lebih RM6 juta, enam tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, N. Narendran, 41, didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Narendran didakwa dengan 102 pertuduhan menipu Hafizul Abdul Hamid, 45, dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai bahawa pesanan kerajaan negeri untuk pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, adalah tulen.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan yang tidak wujud.

Dia melakukan kesalahan itu di empat lokasi berbeza antara Mei hingga Disember 2015.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan tujuh pertuduhan lagi kerana mengemukakan dokumen palsu membabitkan kes dan mangsa yang sama.

Dia didakwa dengan curangnya menggunakan beberapa Dokumen Pesanan Kerajaan Negeri Perak yang palsu sebagai tulen pada April hingga Oktober 2015.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima memerintahkan Narendran dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun bagi 102 pertuduhan dan dikenakan sebatan 24 kali untuk kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun kepada tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Kesemua hukuman itu diarahkan dijalankan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, peguam R. S. N Rayer yang mewakili Narendran memohon penangguhan hukuman itu sehingga prosiding rayuan tertuduh di Mahkamah Tinggi.

Namun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dan memaklumkan sekiranya mahkamah membenarkan, maka jumlah jaminan perlu ditambah selain mengenakan syarat-syarat tambahan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Norashima membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu selesai didengar.

Beliau juga menetapkan tambahan jaminan sebanyak RM30,000 ke atas tertuduh selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali seminggu.

Jaminan tersebut perlu diselesaikan hari ini.

Seramai 13 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding perbicaraan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI