PUTRAJAYA – Hamil anak kedua pada usia 41 tahun, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mendedahkan dia akan berkongsi tips kehamilan bersama peminat yang ingin mendapatkan zuriat.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi yang kini hamil tiga bulan berkata, dia akan berkongsi tips tersebut menerusi siaran langsung dalam Instagramnya sekitar awal Ramadan.
Jelasnya, perkongsian tersebut dibuat kerana rasa terpanggil apabila ramai wanita yang mempunyai masalah kesuburan meminta tips daripadanya.
“Niat saya mahu berkongsi tips dan informasi tentang kesuburan wanita serta kehamilan kerana ingin membantu orang ramai yang sudah lama mahu menimang cahaya mata, tetapi masih belum diberi rezeki.
“Saya bukanlah pakar atau doktor, sebaliknya hanya mahu berkongsi tips dan amalan ketika berusaha untuk hamil buat kali kedua.
“Jika ada pihak yang mahu kecam, saya tidak kisah. Niat saya hanya ingin membantu. Orang yang kecam itu mungkin subur dan mempunyai ramai anak, jadi tidak perlu bercakap apa-apa,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Senduk Kuali Kak Lima Pom Pom di Putrajaya semalam.
Program tersebut memaparkan Elly selaku pengacara yang akan bersiaran sepanjang bulan Ramadan pada pukul 12.30 tengah hari di TV1.
Berkongsi tentang kehamilan keduanya, Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom menjelaskan, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut sebaliknya hanya mengikut petua orang lama.
Tambahan pula sebelum berjaya hamil buat kali kedua, Elly pernah mengalami keguguran sekitar September tahun lalu.
“Saya tidak mahu berahsia kerana lama-lama orang akan tahu juga. Saya pula sentiasa muncul dalam televisyen, pasti orang akan perasan.
“Cuma saya mengikut petua orang lama, tunggu sehingga kehamilan sedikit kuat barulah berkongsi berita gembira ini bersama peminat,” tuturnya.
Sungguhpun begitu, Elly bersyukur kerana kehamilan kali ini dalam keadaan sihat. Cuma dia mengalami alahan terhadap bau bawang merah dan putih.
“Selera makan saya semakin berkurangan kerana alah terhadap bau bawang putih dan merah yang dimasak.
“Sebab itu, sepanjang hamil saya tidak masak langsung. Namun, apa yang peliknya saya hanya mengidam sushi,” katanya.
Pengacara itu berkahwin dengan seorang guru, Azlan Che Nuh, 30, pada 18 Januari 2020.
Sebelum ini, dia memiliki seorang anak perempuan Putri Sara Sefhia, 5, hasil perkahwinan terdahulu dengan pengarah drama Azmi Hatta. -K! ONLINE