TEMERLOH – Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan seorang bomoh di Kuantan baru-baru ini berpunca dendam akibat gangguan seksual yang dilakukan terhadap mangsa yang mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan polis pada masa ini menjurus kepada beberapa perkara termasuklah gangguan seksual terhadap pesakit yang pernah mendapatkan rawatan daripada mangsa.
“Kita tengok pelbagai sudut dalam melakukan siasatan mungkin dendam, ada bergaduh, hutang dan mungkin ada orang tidak puas hati kerana ada gangguan seksual.
“Kemungkinan dendam ini lebih kepada dia mengubat wanita-wanita mungkin ada benda yang dia buat tidak betul orang marah dan mungkin kaedah perubatan bercanggah dengan amalan tradisional,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temmerloh di sini hari ini.
Ahad lalu seorang pengamal perubatan tradisional ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala dalam kejadian di sebuah rumah di perkampungan Bukit Rangin Perdana 2 di sini.
Semasa kejadian kira-kira pukul 9 malam itu mangsa Mohamad Abdul Rahim Nasri,31, ditemukan mati dengan kesan beberapa das tembakan di sudut perubatan di rumah didiaminya.
Dalam pada itu, Abd. Jalil berkata, berdasarkan siasatan mendapati pembunuhan berkenaan dilakukan secara terancang menggunakan senjata api yang agak canggih.
Katanya, polis telah menyoal siasat sepasang suami isteri yang merupakan saksi yang sedang berubat di rumah berkenaan semasa kejadian.
“Pihak polis Pahang mengalu-alukan agar mereka yang ada maklumat berkenaan bomoh ini atau kejadian tampil kepada polis dalam salurkan maklumat kepada
pihak polis,” ujarnya. – K! ONLINE