PUTRAJAYA – Empat pekerja teknikal sebuah syarikat pembekal sistem berusia antara 35 hingga 39 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian untuk menggodam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) Jabatan Imigresen (JIM).
Selaian itu, turut ditahan adalah dua kakitangan JIM berusia 34 dan 42 tahun menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini adalah seramai 11 orang.
Sumber berkata, dua kakitangan JIM itu ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dengan membantu mereka menjalankan aktiviti penggodaman sistem tersebut.
“Dipercayai kedua-dua kakitangan itu menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, sumber berkata, SPRM telah mengenal pasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman.
Katanya, tangkapan terbaru itu adalah lanjutan daripada operasi bersama JIM yang telah dilaksanakan pada 6 April lalu di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.
Terdahulu, lima tangkapan dibuat terhadap ketua sindiket bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM.
Sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat berjumlah RM9,97 juta telah dibekukan.
Selain itu, dianggarkan sebanyak 30 unit hartanah berjumlah RM11.8 juta dan 66 buah kenderaan berjumlah RM13.6 juta telah disita serta dibekukan yang mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM25.5 juta.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan terbaharu itu.
“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara.
“Kesemua suspek akan disiasat berkaitan penglibatan mereka yang bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen dengan melihat segala sudut undang-undang jenayah bagi penglibatan mereka ini,” katanya. – K! ONLINE