JAKARTA – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan di Kabupaten Brebes, Jawa Tengah memiliki nama yang unik apabila dinamakan sempena tempat bapanya mencari rezeki.
Menurut laporan Suara.com semala, nama bayi itu ialah Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi Informasi Statistik dan anak kedua pasangan suami isteri, Slamet Wahyudi, 38, dan Ririn Linda Tunggal Sari, 33.
Slamet mengakui meletakkan nama anaknya sebegitu kerana sudah bernazar akan menjadikan lokasi tempat kerja sebagai nama jika mendapat bayi lelaki.
“Semasa isteri saya disahkan hamil, saya sudah bernazar untuk meletakkan nama tempat saya bekerja di pejabat daerah iaitu Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi Informasi Statistik jika jantinanya lelaki.
“Nama panggilan anak saya ialah Dinko dan dia dilahirkan pada Disember tahun lalu,” katanya.
Tambah Slamet yang sudah bekerja di pejabat itu sejak 2003, pilihan namanya tidak mendapat bantahan isteri dan orang tuanya malah mereka hanya menurut keinginannya.
“Isteri cuma tanya adakah saya yakin dengan nama itu dan saya beritahu ya lalu terus daftarkan nama Dinko,” ujarnya. – Agensi