Oleh AZIZAN HASHIM
BAYARAN sebulan gaji sebelum perlawanan mungkin menjadi tonik kebangkitan pasukan Perak FC hingga berjaya menumpaskan UiTM FC dengan kemenangan 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad The Bos Gaurus ketinggalan 2-0 satu ketika tetapi bangkit di babak kedua untuk meraih tiga mata penuh sekali gus menghadiahkan kemenangan ketiga musim ini buat skuad kendalian Chong Yee Fatt itu.
Ahli Jawatankuasa (Exco) Belia dan Sukan negeri, Khairul Shahril Mohamed mengakui gembira dengan kejayaan itu berikutan ketegangan yang memuncak berikutan tersebar pemain sudah tidak menerima dua bulan gaji sejak awal minggu ini..
“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC ketika ini. Semalam (kelmarin) kita dah bayar sebulan gaji dan mungkin kerana itu mereka menang.
“Bagaimanapun, saya harap pemain tidak meletak syarat yang tinggi untuk meraih kejayaan walaupun saya sedar bola sepak adalah periuk nasi mereka,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, Khairul turut berharap agar ada penaja korporat yang membuat tawaran kepada kelab untuk menjadi penaja utama atau membeli saham Perak FC selepas ini.
“Kita mahu penaja tulen yang tidak membuat cadangan balas untuk mendapat habuan. Setakat ini memang banyak mengemukakan cadangan tetapi ia bersyarat dan sukar untuk kami tunaikan,” katanya.
Perak yang selama ini bergantung kepada dana kerajaan negeri nampaknya terpaksa mencari sumber sendiri berikutan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad semalam yang tidak mahu menyara pasukan bola sepak Perak lagi musim ini.