RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas beras Siam pelbagai jenama seberat 9.79 tan dalam serbuan di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Limau Purut dekat Tanah Merah hari ini.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan beras bernilai lebih RM39,000 itu dijalankan pada pukul 2 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Siasatan mendapati, rumah itu dipercayai telah menjadi transit untuk kegiatan itu sejak setahun lalu.
“Hasil pemerhatian yang dijalankan, rumah itu terletak jauh dari kawasan penduduk malah laluan masuk juga merupakan jalan mati,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini, hari ini.
Nor Azizan memberitahu, dalam serbuan itu, PGA turut merampas beras pulut seberat 825 kilogram bernilai RM5,755 yang turut disembunyikan di dalam rumah tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati, beras-beras itu dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus dan pangkalan haram yang terdapat di sekitar Sungai Golok. – K! ONLINE.