fbpx

Bekas pengurus Paip didakwa terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sani Khan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai dan kereta mewah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

KUANTAN- Bekas Pengurus Perolehan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Sani Khan Ali Khan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas enam pertuduhan menerima suapan RM160,000 dan sebuah kereta mewah bernilai RM154,399.70 daripada pemilik syarikat kontraktor antara tahun 2014 hingga 2018.

Sani Khan yang berumur 46 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bagi pertuduhan pertama, Sani Khan didakwa menerima suapan iaitu sebanyak 50 peratus hasil keuntungan Syarikat Aliran Puncak Service untuk kerja membekal dan menghantar ‘stopcock clamp’ kepada PAIP daripada Mohd Azahari Mohd Ramli bagi membantu syarikat itu mendapatkan kerja-kerja membekalkan dan menghantar ‘stopcock clamp’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Tingkat 3, pejabat Paip di Indera Mahkota di sini pada 2014.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke lima, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima suapan wang tunai RM160,000 daripada Mohd Azahari sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan tujuan sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Sani Khan di Restoran Jaman Tory, Indera Mahkota antara September 2016 sehingga Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta Sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Bagi tuduhan terakhir, Sani Khan didakwa menerima sebuah kereta jenama jenis Mazda CX5 daripada Nor Amli Daud yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh yang mana telah melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawab pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Gabungan Suria Sdn Bhd, Jalan Tun Ismail, pada 9 Mac 2016.

Tertuduh didakwa melanggar peruntukan Seksyen 25 (2) Akta yang sama dan hukuman jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI