KLANG – Hasrat seorang kontraktor untuk mandi terbantut selepas menemui seekor ular sawa seberat 10 kilogram (kg) di dalam mangkuk tandas rumahnya di Taman Bertek Indah di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi disedari lelaki berusia 47 tahun itu yang pelik melihat objek hitam di dalam mangkuk tersebut.
Ketua Sektor Operasi Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, empat anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 11.02 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ular sawa sepanjang dua meter berada di dalam mangkuk tandas tersebut.
“Operasi menangkap reptilia itu dilakukan secara berwaspada menggunakan peralatan khas bagi mengelak ia bertindak agresif,” katanya kepada ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujar beliau, ular itu berjaya ditangkap dalam tempoh tujuh minit dan operasi ditamatkan pihaknya pada pukul 11.26 pagi
“Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.- K!ONLINE