fbpx

Lelaki maut dirempuh selepas tercampak keluar dari kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Kancil dipandu mangsa yang terbalik selepas dipercayai hilang kawalan dan merempuh tayar belakang sebuah lori di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Sungai Choh, Rawang semalam.- Foto IHSAN PDRM

HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut dirempuh pengguna jalan raya selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya dalam satu kemalangan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Sungai Choh, Rawang, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Kancil, Proton Wira, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza serta sebuah lori.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu dipercayai telah hilang kawalan dan terlanggar tayar belakang sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Pelanggaran itu telah mengakibatkan Perodua Kancil tersebut terbalik dan menghempap Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun yang berada di belakang lori berkenaan selain menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Ridzuan, mangsa yang tercampak keluar dari keretanya ke atas jalan raya seterusnya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang wanita dari arah belakang yang tidak sempat mengelak.

“Susulan kejadian itu, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Alza dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori serta pemandu Proton Wira yang berusia 28 tahun dan 30-an pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelas beliau.

Tambah Ridzuan, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI