KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengehadkan hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan masuk untuk membeli juadah di setiap gerai di bazar Ramadan seluruh negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menetapkan syarat itu kepada peniaga memandangkan mereka telah dibenarkan berniaga di bazar Ramadan pada tahun ini.
Menurutnya, sehubungan dengan itu, kerajaan negeri telah menetapkan bilangan peniaga adalah mengikut kapasiti keluasan setiap bazar Ramadan di seluruh negeri.
“Kita harap dengan ruang yang diberikan kepada peniaga di bazar Ramadan pada tahun ini sekali gus dapat meningkatkan ekonomi di negeri ini meskipun perlu berdepan dengan wabak Covid-19.
“Peniaga juga perlu memakai pelitup muka sepanjang operasi perniagaan di bazar Ramadan selain mengekalkan jarak yang selamat seperti yang ditetapkan,” katanya selepas hadir ke Majlis Perasmian Pasar Awam di Bandar Satelit Pasir Tumboh yang kini dikenali dengan nama Pasar Siti Mariam.-K! ONLINE