PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah mengeluarkan kompaun terhadap tiga peniaga kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat.
Kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan bersama KPDNHEP Cawangan Gombak dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Borong Kuala Lumpur bermula pukul 2 sehingga 4 pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP WPKL, Zubir Hamsa berkata, sebanyak empat notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 turut dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perubahan harga.
Menurutnya, peniaga-peniaga yang menerima notis tersebut diberi tempoh masa dua hari bagi memberikan maklum balas dan penjelasan mengapa barang jualan mereka mengalami kenaikan harga.
“Selain itu, lapan peniaga lain turut diberi amaran atas kesalahan kecil.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati majoriti peniaga di pasar itu didapati mematuhi peraturan serta perundangan yang berkuat kuasa,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan sengaja dilaksanakan awal pagi bagi melihat sejauh mana pematuhan peniaga dalam menggunakan alat timbang yang sah serta tumpuan bagi melihat sama ada berlaku aktiviti pencatutan di pasar tersebut.
“Pengguna diminta membuat perbandingan harga barang sebelum membuat keputusan pembelian dan ia boleh dilakukan melalui aplikasi ‘Price Catcher’ yang diperkenalkan oleh KPDNHEP bagi mendapatkan harga dan premis yang terbaik sebelum berbelanja,” ujarnya. – K! ONLINE