KLANG – Pil Captagon yang pernah digunakan oleh tentera militan berjaya dirampas sebelum dihantar ke negara Asia barat dalam serbuan ke atas kontena di Pelabuhan Barat di sini, Isnin lalu.
Serbuan dilakukan pukul 5.30 petang hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama General Direktor Kawalan Narkotik Arab Saudi itu merampas lebih 3.8 juta pil berkenaan seberat 650 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam ‘aluminium floor spring’.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan menerusi operasi tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, dadah berkenaan dibawa dari sebuah negara di Timur Tengah sebelum tiba di pelabuhan tersebut pada Ahad lalu.
Katanya, ia kemudiannya akan dipindahkan ke sebuah kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura sebelum menuju negara di Asia Barat yang dijadualkan Selasa lalu.
“Hasil pengimbasan mendapati kontena tersebut mengandungi sejumlah 19 palet kayu berisi 899 kotak dengan 875 kotak mengandungi aluminium floor spring berisi pil Captagon.
“Keseluruhan dadah dirampas adalah lebih 3.8juta biji pil dengan nilai dianggarkan RM221.8juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. -K!ONLINE