Duta Myanmar di Britain menyatakan semalam bahawa atase tentera yang mempunyai kaitan dengan Yangon telah ‘menawan’ kedutaan Myanmar di London dan menghalangnya daripada memasuki bangunan tersebut.
Ditanya siapa berada di dalam kedutaan, duta berkenaan, Kyaw Zwar Minn menjawab ‘atase pertahanan, mereka menawan kedutaan saya’ sekali gus mengesahkan laporan media sebelumnya.
Junta tentera Myanmar memanggil pulang duta tersebut bulan lalu selepas beliau mengeluarkan kenyataan mendesak mereka membebaskan pemimpin awam yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint.
“Diplomasi adalah satu-satunya tindakan dan jawapan kepada masalah yang dihadapi,” kata Kyaw Zwar Minn dalam kenyataan yang disiarkan di laman Twitter oleh Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab.
Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan Myanmar di London semalam susulan laporan media bahawa kedutaan dikunci dan duta tersebut dihalang daripada memasuki bangunan itu.
“Apabila saya meninggalkan bangunan kedutaan, mereka menyerbu masuk dan menawannya.
“Mereka berkata bahawa mereka menerima arahan dari ibu kota (Yangon), justeru, mereka tidak akan membenarkan saya masuk,” katanya.
Kyaw Zwar Minn juga meminta kerajaan Britain campur tangan dalam perkara itu.
Pejabat Luar Britain menyatakan bahawa pihaknya masih menunggu maklumat lanjut susulan kejadian di kedutaan Myanmar di London.
Britain mengecam Myanmar sejak junta tentera merampas kuasa pada Februari lalu manakala London meningkatkan sekatan terhadap konglomerat perniagaan yang dimiliki sepenuhnya atau sebahagiannya oleh junta tentera. – AFP