PETALING JAYA – Zoo Negara menafikan dakwaan bahawa Harimau Malaya jagaannya tidak diberi penjagaan sepatutnya akibat sekeping gambar yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana sewaktu dihubungi berkata, tiada isu haiwan tidak diberi makanan mencukupi atau tidak terurus di Zoo Negara.
“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah turun padang untuk memantau keadaan Harimau Malaya tersebut dan mereka mendapati tiada sebarang masalah.
“Hanya terdapat seekor Harimau Malaya yang tidak sihat, ia sedang pulih setelah dirawat dan diberi peluang untuk berjalan di dalam kandangnya,” jelas Rosly.
Rosly berkata, netizen tidak sepatut menularkan sesuatu perkara tanpa mengetahui hujung pangkal cerita sambil menegaskan semua haiwan di Zoo Negara dijaga rapi dan diberi perhatian secukupnya.
Mengulas mengenai isu kekurangan dana Zoo Negara, Rosly menjelaskan dana yang ada cukup untuk memberi makanan dan penjagaan asas kepada haiwan selain membayar gaji pekerja.
“Namun untuk kembali pulih seperti dahulu, Zoo Negara memerlukan minimum 500,000 pelawat setiap tahun,” katanya.-K! ONLINE