KETIKA muncul sebagai tetamu undangan dalam program Ask Us Anything Fortune Teller terbitan KBS baru-baru ini, penyanyi Hani mendedahkan bahawa dia sebenarnya seorang yang mempunyai banyak kekurangan diri.
Tanpa sedikit pun berselindung, anggota kumpulan EXID itu mengakui dia tidak mahir dalam banyak perkara dan kerap melakukan kesilapan.
“Saya kekurangan dalam banyak perkara. Dahulu saya tidak pernah malu mengenainya tetapi sekarang selepas memasuki usia 30 tahun (umur Korea), saya mula terfikir tentang kematangan.
“Sejujurnya, banyak perkara yang saya tidak tahu lakukan dalam kehidupan seharian. Contohnya memasak masakan ringkas pun saya tidak begitu pandai.
“Saya tidak sedar betapa banyaknya kekurangan diri sehinggalah menyertai sebuah program masakan. Ketika itu saya berasa diri ini ibarat membebankan,” ujarnya.
Tambah penyanyi yang lahir pada tahun 1992 itu, dia menyertai program tersebut bersama penyanyi kumpulan Apink, Jung Eun-ji.
“Saya seorang yang banyak meminta bantuan daripada orang lain dan Eun-ji banyak membantu sepanjang program tersebut berjalan. Saya berasa simpati terhadapnya,” dedahnya lagi.