ALOR SETAR – Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kedah masih rendah apabila hanya 29.38 peratus penduduk negeri ini mendaftar sebagai penerima vaksin sehingga semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd Fikri Ujang berkata, jumlah itu melibatkan seramai 452,808 orang daripada 1.5 juta penduduk yang layak mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Mengikut daerah, Kuala Muda mencatatkan pendaftaran sebanyak 122,910 atau 33.87 peratus, Kulim 77,556 (33.71 peratus), Kota Setar 95,126 (28.98 peratus), Kubang Pasu 47,644 (27.51 peratus) dan Langkawi 21,336 (27.93 peratus),
“Di Sik pula seramai 14,675 (27.74 peratus), Bandar Baharu 8,804 (26.44 peratus), Pendang 16,768 (22.51 peratus), Yan 12,116 (22.74 peratus), Baling 25,552 (23.96 peratus) dan Padang Terap 10,271 (20.79 peratus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, bilangan yang direkodkan itu masih rendah berbanding bilangan penduduk yang patut disuntik.
“Sehubungan itu, kita menyeru semua penduduk di Kedah yang berumur 18 tahun ke atas untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 terutama bagi golongan berisiko tinggi.
“Golongan berisiko tinggi antaranya melibatkan warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan berakhir dengan kematian apabila dijangkiti wabak tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE