SABAK BERNAM – Cubaan dua tekong darat termasuk seorang pemandu teksi membawa 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baharu tiba di negara ini tidak kesampaian
apabila dicekup pihak berkuasa, semalam.
Kesemua mereka berusia 14 hingga 64 tahun itu diberkas pukul 7.30 pagi di Tali Air Parit 8, Sekinchan oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 4.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua tekong telah berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mula berjinak menjadi aktiviti sejak tahun lalu.
Katanya, hasil siasatan awal turut mendapati pemandu teksi yang menjadi tekong darat itu memasuki negara ini pada tahun 1983 sebelum mendapat taraf pemastautin tetap selepas tiga tahun kemudian.
“Dia dikatakan menyewa teksi dengan bayaran sewa harian sebanyak RM30 dan telah menerima semua arahan pergerakan dari seorang perempuan di Indonesia bagi proses penghantaran tersebut.
“Sementara, seorang lagi tekong yang merupakan warga tempatan memberikan alasan untuk mnjemput abang iparnya yang antara PATI yang ditahan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Rizal turut memberitahu, kesemua PATI itu berlepas dari Tanjung Balai, Sumatera dengan membayar sebanyak RM1,200 kepada ejen di Indonesia termasuk upah tekong darat di negara ini.
“PATI telah dibawa menggunakan bot sebelum dilepaskan di pesisir pantai Bagan Sekinchan. Mereka kemudiannya akan dihantar ke kawasan sekitar Klang,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua yang mereka yang ditangkap termasuk sebuah teksi dianggarkan RM24,000 telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1963. -K!ONLINE