SEPANG – Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang gagal menggunakan pembayaran secara dalam talian (e-wallet) bagi urusan jual beli.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pihaknya berharap supaya sejumlah kira-kira 300,000 IKS yang berdaftar dengan kerajaan akan menggunakan aplikasi itu akhir tahun ini, seperti yang disasarkan.
“Bagaimanapun tindakan ini belum lagi diputuskan, namun sekiranya pergerakan peniaga IKS agak perlahan, mungkin tindakan penguatkuasan akan terus dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Program Bingkisan Mesra Selangor dan Penyerahan Bakul Makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah di Dataran Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Walk di sini, hari ini.
Rodziah berkata, kerajaan negeri telah melancarkan penggunaan e-wallet pada tahun 2019 namun mendapati ia kurang mendapat sambutan.
Untuk itu, kata Rodziah, pihaknya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan seluruh peniaga IKS di Selangor patuh pada dasar tersebut memandangkan kaedah itu antara dapat meminimumkan sentuhan semasa jual beli seterusnya dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19.- K! ONLINE