fbpx

“Kami orang miskin, bukan orang kaya,”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peneroka Kampung Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur membuat bantahan selepas tanah diusahakan mereka dipajakan kepada tiga buah syarikat. FOTO : ZULFADHLI ZAKI

KUALA SELANGOR – Kira-kira 700 peneroka ladang kelapa sawit dan pekebun kecil di Kampung Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya di sini kesal apabila mendakwa ditindas kerajaan negeri dengan memberikan pajakan tanah kepada tiga buah syarikat yang diragui pemerolehan tersebut

Ladang kelapa sawit di Kampung Tanjong Pasir berkeluasan 323 hektar itu mula diteroka sejak tahun 1965 manakala 1,618 hektar untuk tanah di Kampung Seri Makmur dan didakwa dipajakkan untuk mengambil pasir di tiga-tiga lokasi berkenaan.

Wakil peneroka Kampung Tanjong Pasir, K. Siva, 44, berkata, tindakan kerajaan negeri disifatkan tidak berjiwa rakyat apabila dua buah syarikat yang baharu ditubuhkan dua bulan pada 2018 terus dianugerahkan pajakan tanah selama 21 tahun.

Katanya, syarikat tersebut juga telah membuat jalan sejauh satu kilometer sejak tujuh bulan lalu sehingga memaksa 400 peneroka di sini terpaksa mengikut jadual ditetapkan syarikat itu untuk mengambil hasil sawit.

“Ini rezeki saya sejak lebih 60 tahun lalu dan kami semua bukan orang kaya. Tambahan kawasan ini adalah lokasi banjir dan terpaksa menggunakan kudrat bagi membawa keluar hasil kelapa sawit menggunakan sampan.

“Lagipun, kami orang miskin tidak boleh lawan orang kaya dan terpaksa menggunakan media dan wakil rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah kami ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat bantahan aman di Ladang Tennamaram hari ini.

Seorang lagi peneroka, Hang Ah Soi, 70, memberitahu, bimbang akan nasibnya yang sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian terbaik termasuk dari segi pampasan.

“Jangan rampas hasil pendapatan kami dan kerajaan negeri sepatutnya membantu golongan miskin seperti kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berharap kerajaan negeri mengkaji semula tanah itu dan menarik semula pajakan diberikan kepada syarikat terlibat.

“Bagaimana syarikat yang baharu ditubuhkan dua bulan boleh terus mendapat projek ini dan semakan mendapati adalah pemilik sama. Sudahlah tanah dipajak malah ‘cukai’ juga dikenakan apabila peneroka di Kampung Seri Makmur dikenakan sewaan RM150 sebulan.

“Lihat semula status pajakan sama ada benar untuk pertanian atau sebenarnya untuk mengaut pasir. Saya juga akan mendapatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas peneroka ini membuat laporan kepada pihak berkuasa itu sejak 2019 ,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI