SEBERANG PERAI – Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai RM18.43 juta di Bukit Mertajam di sini Februari lalu menerima kenaikan pangkat hari ini.
Koperal Simon Pasang Anak Kana, 33, dan Koperal Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, menerima kenaikan pangkat Sarjan pada Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Kenaikan Pangkat Secara Medan di Jawi, Nibong Tebal.
Acara itu disempurnakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.
Menurut, Zainal Abidin, penganugerahan itu diharapkan dapat menaikkan semangat anggota lain untuk menjalankan amanah dengan lebih baik sekali gus meningkatkan integriti pasukan beruniform.
“Sebenarnya ramai pegawai dan anggota yang berkualiti dan memiliki semangat yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan dua anggota URB yang melakukan tugasan rondaan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM22.46 juta selepas menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama sejumlah syabu seberat 623.76 kilogram.
Kejadian itu disedari anggota berkenaan ketika mereka melihat tiga suspek sedang memunggah dadah dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV berdekatan sebuah kondominium kira-kira pukul 2 pagi. -K! ONLINE