PETALING JAYA – UDA Holdings Bhd. (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, menyasarkan pelancaran 1,000 unit kediaman dengan nilai keseluruhan sebanyak RM640 juta tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia meliputi beberapa projek perumahan seperti pangsapuri di Kuala Lumpur, kondominium di Pulau Pinang, rumah teres dua tingkat di Johor Bahru, rumah banglo di Terengganu dan rumah berkembar di Pahang.
“Harga jualan rumah adalah serendah RM300,000 hingga RM700,000 seunit dan boleh mencecah sehingga RM1.2 juta seunit di Bangsar, manakala projek pembinaan banglo di Bertam, Pulau Pinang mampu ditawar pada harga RM1.8 juta seunit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen Tawaran Emas UDA 50 sempena sambutan ulang tahun ke-50 UDA di sini semalam.
Jalaluddin menjelaskan, Kumpulan juga memberi tumpuan kepada penyediaan premis niaga bagi memberi peluang kepada usahawan golongan pertengahan untuk mendapat tempat menjalankan aktiviti perniagaan.
“Dalam hal ini, unit komersial mewakili kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan projek dengan bakinya diwakili oleh unit kediaman,” jelasnya.
Selain itu, beliau menerangkan, meskipun dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini, projek Residensi Wilayah atau lebih dikenali sebagai Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang dijual pada harga RM300,000 seunit telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Jelasnya, sebagai contoh, projek Residensi Legasi Kampung Bharu di Kuala Lumpur telah habis terjual.
Jalaluddin menerangkan, UDA tidak mengikut takrif tertentu untuk menetapkan harga yang dianggap mampu milik, namun pihaknya berpegang kepada aspirasi dan garis panduan kerajaan dalam membantu menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
“Buat masa ini rumah mampu milik di bawah UDA ialah RM300,000 dan mempunyai keluasan lantai 74 meter persegi.
Tambah beliau, harga yang ditawarkan UDA adalah wajar mengikut produk bagi mengisi keperluan kumpulan M40, T20 dan tidak ketinggalan golongan B40 dalam pegangan hartanah.
Terdahulu menerusi kempen Tawaran Emas UDA 50, pelanggan yang membeli hartanah UDA bermula dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2021, berpeluang memenangi 50 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM500,000.
Ganjaran yang ditawarkan termasuklah kereta Proton X50, lima ketul emas seberat 50 gram dan lima buah motosikal Yamaha Y15ZR.
Selain itu, pemenang bertuah akan mendapat manfaat daripada rebat antara tujuh hingga 10 peratus bagi pembelian projek terpilih UDA.
Pelanggan yang sudah menandatangani perjanjian jual beli pada 2020 sebelum tarikh kempen bermula turut layak menerima dua penyertaan untuk setiap RM100,000 yang dibelanjakan.