SELANGOR Angels tidak boleh melakukan kesilapan mudah jika berhasrat menewaskan pilihan utama kejohanan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats dalam aksi separuh akhir Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu ini.
Skuad bimbingan Rosnani Ismail itu perlu tampil dengan prestasi sempurna dan tidak memberikan banyak ruang kepada KL Wildcats yang mampu menghukum mereka selepas menang semua enam perlawanan Kumpulan A sebelum ini.
Goal Shooter Selangor, An Najwa Azizan menyifatkan, aksi bertemu KL Wildcats hujung minggu ini ibarat satu pertembungan mental antara kedua-dua pasukan memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
“Kami perlu perbaiki beberapa kelemahan terutama konsistensi semasa permainan. Contoh Johor (Jewels) berjaya menewaskan kami disebabkan mereka kurang melakukan kesilapan.
“Saya tidak melihat kepada pemain individu tetapi sentiasa menganggap semua pasukan adalah sama. Saya sentiasa memberitahu rakan-rakan bahawa ini hanyalah satu lagi perlawanan bola jaring.
“Cuma saya dapat rasakan aksi bertemu KL nanti akan menjadi lebih kepada pertembungan mental dari segi persiapan dan perlawanan sebenar,” kata An Najwa selepas tewas 51-65 kepada Johor pada aksi terakhir Kumpulan B, Ahad lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Selangor terpaksa akur mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B, manakala Johor menjuarai Kumpulan B untuk menempah pertemuan lebih mudah menentang pasukan tempat kedua Kumpulan A, Perak Phoenix.
Bagi kapten KL Wildcats, Nur Syafazliana Mohd. Ali, pemain yang boleh beraksi sebagai Goal Keeper dan Goal Defend itu sudah bersedia bertemu Selangor dan akan memberikan persembahan terbaik untuk mara ke final pada Ahad ini.