LELAKI ini memulakan langkah sebagai penyanyi dan rapper profesional sejak tahun lalu ketika usia sudah mencecah angka 30 tahun.
Bagi Fhan, tangga usia seseorang bukan suatu asas paling penting buat pengkarya seni (muzik), asal sahaja seseorang itu mempunyai minat dan bakat, jalan seni luas terbentang.
Fhan, 31, atau nama sebenarnya Muhammad Farhan Alias bahkan menganggap muzik juga terbuka untuk digubah sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
Buktinya, selepas muncul dengan dua single iaitu Bertahan pada Oktober 2020 dan Terbang Tinggi pada Disember 2020, Fahn kini muncul dengan single Terang yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu.
Mesej
Menariknya, menerusi lagu ciptaan Lucka Sickta dan lirik oleh Asyraf Nasir, Lucka Sickta dan Han Kabir itu, Fahn turut berpadu dengan Bella Iris.
“Bagi saya untuk berkarya tak semestinya usia muda. Berkarya bila-bila saja boleh.
“Saya mahu ekspresikan perasaan dan mesej dalam lagu untuk beri motivasi kepada pendengar dan nak beritahu apa yang berlaku di sekeliling kita.
“Dalam erti kata lain, nak mendidik menerusi lagu.
“Single pertama dan kedua lebih cenderung bercakap tentang situasi semasa negara seperti menerusi Bertahan yang lebih bercerita tentang situasi Covid-19 sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan pertama tahun lalu.
“Terbang Tinggi pula khas untuk mereka yang terbabit dalam bidang penerbangan yang terkesan.
“Single terbaharu Terang pula didedikasikan kepada semua untuk mencapai lebih baik dalam kehidupan di mana kena berusaha, tapi dalam perjalanan itu akan berdepan cabaran.
“Apa-apa pun jangan putus asa. Jadi, bagi saya pekerja apa pun kena ada usaha dan matlamat,” katanya.
Pengalaman
Terang juga mengutip sedikit pengalaman sendiri melalui liku-liku dan jatuh bangun dalam kehidupan termasuk perniagaan diusahakan.
“Lagu Terang ini juga berdasarkan pengalaman saya yang pernah melalui turun dan naik dalam kerjaya.
“Sebab saya buat banyak kerja bukan saja terbabit dalam bidang muzik tetapi juga sebagai jurugambar, juruvideo dan pereka hiasan dalaman. Pendek kata ada pelbagai kemahiran.
“Insiden kena tipu juga perkara biasa seperti klien tak nak bayar walaupun kerja sudah disiapkan. Perkara seperti ini yang membuatkan saya tampil dengan lagu Terang. Walaupun sudah terkena, tetapi jangan putus asa, sebab terang akan datang,” katanya.
Fhan yang turut mengusahakan syarikat hiasan dalaman, Petapattern Studio sejak empat tahun lalu berkata, dia pernah ditipu puluhan ribu ringgit.
“Soal kena tipu dalam perniagaan ini sudah banyak kali terkena mencecah puluhan ribu juga. Namun, ini semua mematangkan saya untuk lebih kenal kehidupan.
“Ada juga jumpa orang yang hanya pandai sembang, tetapi akhirnya dia ‘sapu’ sendiri. Orang seperti Ini buatkan saya lebih berhati-hati dalam nak bekerjasama, berkawan dan sebagainya.
“Penubuhan syarikat hiasan dalaman ini perlukan pelaburan besar. Alhamdulillah, melihatkan hasilnya sekarang saya berasa berbaloi dan boleh nampak peningkatan. Ini semua berkat usaha dan tak putus asa.
Bermula dengan kecil-kecil, syukur sehingga sekarang sudah ada klien membabitkan projek besar,” katanya.
Idola
Berkongsi mengenai kerjaya muzik, Fhan yang meminati genre Hi-Hop menjadikan lagenda duo rapper, Too Phat sebagai idola selain beberapa bintang rapper antarabangsa lain.
“Saya minat rap sejak dari tingkatan satu lagi. Masa kecil, itu saya memang layan lagu-lagu Too Phat. Lagu-lagunya dekat dengan jiwa saya. Bukan apa, apabila menjadi rapper kita boleh bercerita dan ekspresi perasaan menerusi lirik lagu itu.
“Saya menganggap menjadi rapper ialah bakat semulajadi, begitu juga dengan kerjaya sebagai jurufoto dan juruvideo. Semuanya disebabkan minat dan akhirnya menjadi. Melainkan sebagai pereka hiasan dalaman yang mana saya memang belajar.
“Selain Too Phat, saya juga mengidolakan Altimet selain generasi baharu seperti Luca Sickta. Kalau luar negara seperti Lupe Fiasco,” katanya.
Menurut Fhan, disebabkan minat mendalam itu dia merasakan tidak ada yang mustahil untuk dirinya terus melangkah jauh dalam bidang muzik biarpun perlu bersaing dengan penyanyi atau rapper muda.
Lagu Terang sudah boleh distrim dan didengar di semua pelantar muzik digital dan video muzik boleh ditonton dalam luran YouTube Universal Music Malaysia.