PADA 13 Mac lalu, Facebook Inc dilaporkan sedang membangunkan versi perkakasan perkongsian foto Instagram khusus untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.
Di zaman serba canggih ini, media sosial dan peranti elektronik tidak asing lagi dalam kalangan kanak-kanak hingga ada sebahagian anak kecil sudah menyuarakan cita-cita untuk bergelar Instafamous atau YouTuber pada suatu hari nanti.
Dengan pendapatan bulanan yang dikatakan boleh mencecah enam angka dan populariti yang bakal dikecapi, banyak anak muda seawal di bangku sekolah sudah mengimpikan ‘kerjaya’ itu.
Berdasarkan SocialBlade iaitu sebuah syarikat yang menjejaki saluran YouTube popular, personaliti YouTube mampu menjana pendapatan antara mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norulhuda Sarnon@ Kusenin berkata, jumlah ‘Like’ dan pengikut yang besar menjadikan kanak-kanak merasakan golongan itu adalah role model ideal yang wajar dicontohi.
Beliau berkata, semasa zaman kanak-kanak, mereka sememangnya mudah tertarik dengan ikon popular di media elektronik tanpa dapat menyelami apa cabaran yang dihadapi dalam sesuatu pekerjaan.
“Apabila ikon Instafamous turut dibesar-besarkan oleh orang dewasa maka, kanak-kanak melihat tidak ada salahnya untuk menjadi personaliti media.
“Nilai populariti dan materialistik ini sebenarnya telah dipupuk oleh individu dewasa sendiri tanpa mereka sedari,” katanya.
Mengulas lanjut, Norulhuda berkata, walaupun kanak-kanak lebih berkeyakinan untuk mengekspresikan diri masing-masing dengan cara kreatif di alam maya, mereka dikhuatiri tidak dapat berbuat demikian apabila berada di khalayak ramai.
“Mengekspresikan diri melalui media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube boleh digunakan sebagai platform awal untuk melatih kanak-kanak bercakap di khalayak ramai.
“Bagaimanapun, jika terlalu banyak memberi penumpuan terhadap medium ini, maka akan timbul ketidakseimbangan dalam proses membina keyakinan diri kanak-kanak kerana penerimaan antara dunia maya dengan realiti adalah berbeza,” katanya.
Jelas Norulhuda, dalam dunia sebenar, kanak-kanak akan berdepan dengan reaksi lisan di mana mereka perlu menangani tekanan, kebimbangan serta bersedia dari segi mental jika berlaku kecemasan seperti terlupa skrip dan seumpamanya sewaktu membuat persembahan atau pembentangan.
“Penampilan diri juga tidak boleh diubah secanggih video di alam maya. Oleh itu, ibu bapa dan guru seharusnya boleh menyeimbangkan keadaan ini dengan meminta kanak-kanak untuk turut bercakap atau membuat persembahan di khalayak ramai berbanding terlalu menggalakkan penggunaan media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Sabariah Shari turut berpendapat bahawa faktor pendapatan dan kepuasan diri menarik minat generasi milenial untuk menjadi personaliti media sosial berbanding kerjaya seperti doktor, peguam dan akauntan.
Beliau berkata, perubahan dari segi cara pemikiran itu antara lain didorong oleh pandangan atau perspektif dunia antara generasi lama dan baharu.
“Jika dianalisis pekerjaan yang diminati pada zaman dahulu seperti doktor, peguam dan akauntan, semua pekerjaan ini adalah berkonsepkan membantu orang lain.
“Namun, generasi kini lebih berminat menjadi YouTuber dan influencer kerana pekerjaan ini secara kasarnya berasaskan kepada memperoleh pendapatan dan kepuasan diri,” jelasnya. -K! ONLINE