BRENTFORD – Hanya selangkah sahaja lagi buat Brentford untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas mara ke aksi final playoff Liga Kejuaraan.
Skuad The Bees itu berjaya menempah slot ke perlawanan akhir di Wembley 4 Ogos nanti selepas menang 3-2 secara agregat ke atas Swansea City di Griffin Park awal pagi semalam.
Pengurus Brentford, Thomas Frank mengakui gembira dengan kejayaan itu, namun memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar memberikan sepenuh fokus terhadap aksi final.
“Kami ada bercakap mengenai kemungkinan tidak akan meninggalkan padang sekiranya gagal ke final. Pemain-pemain faham apa yang perlu dilakukan dan berjaya laksanakan tugas tersebut.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan keputusan ini. Saya akan raikannya bersama semua pemain tetapi kami tidak mahu hilang fokus menjelang perlawanan akhir nanti,” kata Frank.
Mengulas aksi semalam, Frank mendedahkan beliau tidak senang duduk sepanjang perlawanan, lebih-lebih lagi Swansea berjaya menjaringkan satu gol ketika perlawanan berbaki 12 minit.
“Ia sangat mendebarkan ketika mereka menjaringkan satu gol. Kami tidak sepatutnya melakukan kesilapan seperti itu ketika perlawanan semakin hampir ke penghujung,” ujarnya. – AGENSI