SEBERANG PERAI – Bangunan UMNO Permatang Pauh di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh di sini terlibat kebakaran tengah hari tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu bagimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan.
Menurutnya, bomba dengan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti dan Bukit Mertajam bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 12.51 tengah hari.
“Sebaik sampai di lokasi, didapati memang terdapat sebuah bangunan pejabat setinggi tiga tingkat (kelas A) sedang terbakar.
“Kebakaran itu berlaku di tingkat bawah yang berkeluasan 56 meter persegi dan peratusan kemusnahan dianggarkan 30 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah jurucakap terbabit, kebakaran bagaimanapun dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 1.10 petang dan operasi pemadaman itu turut dilakukan dengan bantuan pasukan bomba sukarela berdekatan.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan. – K! ONLINE