RAUB – Jabatan Perhutanan bertindak tegas menebang kira-kira 1,300 pokok durian jenis Musang King dan Duri Hitam yang ditanam di kawasan Hutan Simpan Sempam di Mukim Tras di sini.
Operasi menebang pokok durian dan tanaman lain seperti pokok pisang itu dimulakan semalam oleh 14 kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, berdasarkan siasatan mendapati kawasan seluas 16.2 hektar itu diteroka secara haram dengan tanaman durian Musang King dan Duri Hitam berusia tiga bulan serta pisang yang berusia empat bulan.
“Semasa operasi dijalankan pihak kami tidak menemui pekerja dalam kawasan itu yang dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.
“Selain memusnahkan pokok yang ditanam kita turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dibina dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja di situ,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Shahril, operasi memusnahkan ladang haram itu dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Beliau memberitahu, usaha memusnahkan tanaman itu mengambil masa panjang memandangkan mereka hanya menggunakan parang untuk menebang pokok durian dan juga pisang.
“Bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan Hutan Simpan Sempam turut menjadi faktor berlaku kelewatan operasi memusnahkan tanaman yang dilakukan secara berterusan,”katanya.
Sementara itu katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati terdapat beberapa individu dipercayai menjadi dalang penerokaan haram kawasan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam itu.
“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya yang berharap kerjasama semua pihak memberi maklumat.-K!ONLINE